Perjuangan politik PAS bukan sekadar untuk menang di negeri Terengganu dan Kelantan sahaja tetapi bagi menyelamatkan Malaysia. Sehubungan itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata partinya mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia.
Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum
(PRU) ke-14 ini PAS berusaha untuk bertanding sebanyak 130 kerusi
daripada 222 kerusi parlimen negara. "Maka, kita (PAS) mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia, supaya kita mendapat kerusi dengan sebanyak-banyaknya.
"Dalam pilihan raya (PRU14) ini di peringkat pusat kita (PAS) berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen. "Jika kerusi kita lebih, kita (PAS) boleh membentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh membentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan. DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa pun tak boleh bentuk kerajaan.
"Kalau kita (PAS) 40 kerusi, parti
lain akan dapat kerusi-kerusi dia. (Dengan) 40 kerusi ini sudah cukup
bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam atau pun
tidak. Bermakna kita (PAS) ada kekuatan dengan 40 kerusi itu," tegasnya
dihadapan ribuan hadirin.
Beliau berkata demikian ketika Ceramah
Perdana Sempena Majlis Pelancaran Markaz Besar PAS Dun Bukit Payung di
Perkarangan Madrasah Darul Iman (MDI), Kampung Titian Baru, Bukit
Payung, Marang semalam.
Dato' Seri Abdul Hadi turut mengingatkan umat Islam bahawa mendirikan sebuah kerajaan Islam itu merupakan satu kewajipan. "Hari ini orang kita buat main-main
dalam masalah mengundi pilihan raya ini. Ini kerana, mereka tidak tahu
bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar dalam
Islam. "Payah kepada PAS untuk mengajak orang
penyokong perjuangannya. Oleh kerana, kita (Malaysia) lama dijajah
banyak (ramai) orang Islam tenggelam dalam kejahilan," ujarnya.
Justeru, kata Ahli Parlimen Marang
itu, PAS berusaha bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan dan berusaha
menang di beberapa negeri lain. Menurutnya, jika PAS diberi mandat
memerintah pada pilihan raya nanti parti itu akan menunjukkan keadilan
Islam kepada orang bukan Islam.
"Kita berusaha untuk mempertahankan
kerajaan PAS Kelantan, berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang
di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan
usahakan. "Jika kita mendapat kejayaan,
InsyaAllah kita (PAS) tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya
Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu
sendiri," jelasnya.
Maka, katanya perjuangan PAS dalam
pilihan raya ini sangat besar makna bagi mengembalikan semula Islam
memerintah dan menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya PAS II
Terengganu, Dr Alias Razak, Yang Dipertua PAS Kawasan Marang, Yahaya
Ali dan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
HARAKAHDAILY 14/2/2018
HARAKAHDAILY 14/2/2018
No comments:
Post a Comment