AKHBAR 14 Disember 2017 menyiarkan kenyataan
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bahawa kelulusan
pembalakan dan membangunkan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang
(HSBE) adalah keputusan Menteri Besar terdahulu. Beliau menyebutkan nama
Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak selain Dato' Seri Mukhriz
Mahathir.
Saya ingin mengingatkan pemimpin Umno Kedah itu bahawa tiada
sebarang kelulusan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang
dibuat oleh Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan sewaktu menjadi Menteri Besar
Negeri Kedah.
Pemeriksaan kami dengan sumber-sumber di Jabatan Perhutanan Negeri
Kedah mendapati kelulusan membalak keseluruhannya seluas 1,000 hektar,
dan pembangunan ladang hutan ganti dengan tanaman getah TLC dan Albizia
itu dibuat selepas PRU-13 oleh kerajaan pimpinan Umno-BN.
Laporan perkembangan kerja pembangunan ladang itu juga menunjukkan
projek itu diberikan kepada syarikat Golden Trees Supreme Sdn Bhd pada
17 Disember 2015, sewaktu Kedah dipimpin oleh Mukhriz selaku Pengerusi
Perhubungan Umno Kedah dan sebagai Menteri Besar.
Penggondolan Bukit Enggang dimulakan oleh Menteri Besar Kedah
Incorporated (MBI) pada bulan Mac tahun ini, ketika Dato' Seri Ahmad
Bashah sedang menjawat jawatan Menteri Besar dan juga Pengerusi MBI,
yang diberikan kawasan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang dengan
kadar premium hanya RM1,000 sehektar.
Pemeriksaan kami mendapati hutan asli seluas 1,000 hektar telah
ditebang habis, dan pokok spesis Albizia (petai belalang) sudah mula
ditanam. Pegangan MBI dalam projek ini pula hanyalah 20 peratus
berbanding pihak swasta sebanyak 80 peratus. Ini pun satu kerugian besar
kerajaan dan rakyat Kedah.
Pihak Menteri Besar Kedah dan MBI jangan berpura-pura tidak tahu
dan lepas tangan begitu sahaja dalam kes besar seperti ini, sebaliknya
melepaskan beban kesan negatif projek ini kepada pihak lain
semata-mata.
Kedah bukan sahaja kehilangan hutan asli di Bukit Enggang, tetapi
turut kehilangan pegangan majoriti dalam projek tersebut selama 30
tahun, yang boleh disambung lagi 30 tahun. Kawasan ini akan dibalak
lagi dalam tempoh 5 tahun (Albizia) dan 15 tahun (TLC).
Kenapa MBI hanya memegang share 20 peratus dalam projek seumpama
ini juga patut dipersoalkan. Dalam ladang-ladang Felcra yang dibangunkan
atas tanah kerajaan, pihak kerajaan negeri diberi pegangan 40 peratus,
satu kadar yang lebih munasabah akibat negeri kehilangan hutan.
Pihak kami tidak hanya menuding jari kepada MBI sebagai pihak yang
mengaut untung segera daripada pembalakan 1,000 hektar, dan MBI juga
membawa kerosakan alam sekitar yang menjejaskan orang ramai.
Pihak kerajaan negeri pimpinan Ahmad Bashah juga patut
bertanggungjawab apabila melepaskan hutan bermutu tinggi itu pada kadar
premium RM1,000 sahaja. Kenapa tidak dibuat tander terbuka untuk
kayu-kayu balak tersebut seperti dilaksanakan di Gunung Inas yang
diluluskan sebagai ladang hutan ganti pada 2007 oleh kerajaan negeri
pada waktu itu?
Pada 2008, selepas PRU12, kerajaan dibawah pimpinan Ustaz Azizan
mengarahkan kayu-kayu balak sebagai sumber hasil kerajaan milik negeri
ditander secara terbuka, dan kerajaan mendapat pendapatan berlipat kali
ganda (melebihi RM54 juta) berbanding anggaran pihak pemaju (RM12 juta
sahaja).
Kerajaan Umno-BN harus bertanggungjawab terhadap kehilangan hasil
negeri antara RM15-16 juta dengan pemberian kawasan balak tanpa tander
kepada MBI. Pandangan dan bantahan PAS Kedah berkaitan penggondolan ini
telahpun kami kemukakan dalam Memorandum kepada Menteri Besar pada 27
Noverber lalu.
Tidak ada parti lain yang memerintah Kedah dalam tempoh 5 tahun
terakhir ini selain Umno-BN walaupun berlaku penggulingan Menteri Besar
oleh para pemimpin Umno sendiri. Mana-mana pemimpin dari parti yang
sama, malah Exco-exco kerajaan juga masih orang yang sama, tidak wajar
melepaskan beban kepada pemimpin yang digulingkan begitu sahaja demi
mengelak tanggungjawab dan melepaskan diri.
Konsep akautabiliti sebuah kerajaan negeri harus dipikul oleh pihak
yang menyambung tugas pemimpin digulingkan dengan melaksanakan amanah
dengan lebih baik untuk rakyat dan negeri. Jika keadaan tidak bertambah
baik, malah saling mencuci tangan antara satu sama lain, maka
penggulingan MB itu tidak membawa sebarang makna. Semuanya sama sahaja.
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
HARAKAHDAILY 19/12/2017
No comments:
Post a Comment