RASULULLAH S.A.W ada bersabda:
المهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ
Yang bermaksud: “Orang-orang yang berhijrah ialah sesiapa yang
meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah daripada melakukannya”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Setiap kali kedatangan tahun baru Islam, umat Islam seluruh dunia
akan memperingati peristiwa agung Hijrah Al-Rasul S.A.W sebagai suatu
sejarah yang perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan mereka. Pengambilan
peristiwa hijrah sebagai peristiwa penting setiap kali memasuki awal
tahun baru Islam adalah sebagai gesaan untuk umat Islam membina tekad
baru dan persiapan yang lebih rapi dalam mempertahankan keizzahan Islam.
Sesungguhnya peristiwa hijrah mempunyai pelbagai pengajaran, tindakan
dan contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasullulah S.A.W. dan
para sahabat Baginda. Rasulullah S.A.W dan para Sahabat telah berjihad
dan berkorban nyawa sehingga mereka berjaya meletakkan Islam di tempat
yang paling mulia dan sepatutnya. Kini giliran kita pula untuk memberi
sumbangan kepada agama yang suci ini agar ia terus berkembang mekar dan
perundangannya berjaya ditegakkan.
Semoga tahun baru 1439 Hijriyah ini lebih memberi makna kepada
seluruh umat Islam dengan siri-siri kemenangan yang berpihak kepada
penegak kebenaran di seluruh pelusuk dunia Islam. Kesepakatan umat Islam
terutamanya pemimpin dunia Islam dalam menangani kemelut yang melanda
saudara-saudara seaqidah seumpama di Rohingya dapat ditangani dengan
sebaik mungkin.
DUPP menyeru seluruh umat islam membina tekad dan semangat baru untuk
mengukuhkan jalinan ukhuwwah serta mengelakkan pertelagahan yang
merugikan umat islam itu sendiri. Budaya Politik Matang dan Sejahtera
sangat perlu dihayati oleh semua pihak bagi membina ummah dan negara
menuju keredhaan Allah S.W.T.
“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”
“MEMBINA NEGARA SEJAHTERA”
USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT
30 Zulhijjah 1438 / 21 September 2017 - HARAKAHDAILY 21/9/2017
No comments:
Post a Comment