PARLIMEN Malaysia mencatat sebuah lagi episod
sejarah yang perlu dikenang semalam. 9 Ogos 2017 akan tertulis dalam
memori mengerikan buat negara yang selama ini digelar sebagai sebuah
negara Islam apabila rang undang-undang bagi meminda Akta Membaharui
Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau dikenali juga
sebagai Akta 164 diluluskan pada jam 1 pagi setelah dibahaskan selama
beberapa jam di Parlimen.
Di pihak PAS, 13 orang ahli parlimennya telah mengambil bahagian
dengan memberi peranan sepenuhnya membahaskan RUU 164 ini. Mereka ibarat
benteng terakhir umat Islam yang mempertahankan kesucian Islam di
negara ini. Mereka telah laksanakan amanah mereka dengan baik, dan
Parlimen telah membuat keputusannya, dan yang pasti kesemua mereka akan
menjadi saksi di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.
Tidak timbul PAS hanya bersikap pilih kasih dan hanya menjadi
‘penyokong’ kerajaan Umno BN. Ianya jelas dan bersuluh untuk dilihat.
Bagi PAS, jika sesuatu perkara itu baik untuk Islam dan negara ini, sama
ada kerajaan mahupun pembangkang, PAS akan menyokongnya. Sebaliknya,
jika ia bertentangan dengan Islam dan rakyat di negara ini, tidak kira
siapa yang mencadangkan usul ini, PAS tetap akan menentangnya. Kami ada
prinsip, dan prinsip kami mudah difahami, iaitu Islam adalah matlamat
tertinggi perjuangan PAS.
Dalam usul semalam, PAS menentang usul yang dibentangkan oleh pihak
kerajaan. PAS berdiri teguh mempertahankan prinsip Islamnya, dalam
keadaan pihak pembangkang lain tidak bersatu dan bersepakat dalam
menyatakan pendirian. Bahkan, ahli parlimen pembangkang sanggup pula
bersekongkol dengan ahli parlimen BN dalam meranapkan hak umat Islam di
negara ini.
Apa yang menyedihkan, daripada sejumlah 141 ahli parlimen bergama
Islam, baik pihak kerajaan (Umno BN) mahupun pembangkang, tidak ada
suara yang membangkang usul ini. Lebih pelik apabila ahli parlimen
beragama Islam dari Parti Amanah Negara (PAN) serta Parti Keadilan
Rakyat (PKR) yang mengaku berjuang Islam tidak turut sama mengambil
bahagian dalam membantah usul ini. Speaker Parlimen dengan mudah
menolak bantahan MP PAS yang berjumlah 13 orang tanpa perlu mengundi
kerana tidak cukup korum untuk membuat belah bahagi.
PAS ada sebab yang kukuh untuk menentangnya, dan bukan bangkit
menentang secara semberono atau untuk meraih kepentingan politik demi
populariti semata-mata. RUU 164 ini perlu ditarik balik dengan alasan
yang sangat jelas dan kuat, iaitu ianya bercanggah dengan undang-undang
persekutuan sedia ada seperti Seksyen 46 (2) Akta Undang-Undang Keluarga
Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan juga bercanggah dengan peruntukan
Perkara 121 1A Perlembagaan Persekutuan.
Apa yang dibimbangkan adalah, RUU 164 membahayakan kepentingan umat
Islam di negara ini. Antara bahaya yang bakal menjelma hasil dari RUU
164 ini adalah seorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak
mengharuskan secara terus menjadi orang Islam. Selain itu, RUU 164 ini
memperuntukkan bahawa orang bukan Islam tidak dikehendaki menganut Islam
sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Sebaliknya, orang Islam
hendaklah dibenarkan keluar dari Islam sekiranya ingin berkahwin dengan
orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.
Antara lain, hak umat Islam yang terlucut hasil dari RUU 164 ini
ialah seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan
memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak. Bahkan orang bukan
Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seseorang yang memeluk
Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas
kematiannya.
Dengan meluluskan Akta RUU 164, bererti kekalahan besar terhadap
kepentingan Islam dan kemenangan moral buat pembenci Islam di negara
ini. Selepas ini, satu demi satu hak umat Islam terlucut, ditarik,
ditukar dengan memberikan pelbagai kelebihan buat sesiapa untuk murtad,
menukar agama, dan mengikis hak terutama penjgaan hak terhadap
anak-anak.
Semoga tragedi di Parlimen pada 9 Ogos 2017 membuka mata rakyat
bahawa kerajaan pimpinan Umno BN tidak boleh diharap untuk membela agama
Islam. Selama mereka memerintah, selama itulah umat Islam akan terus
tergadai dan terabai. Di sisi yang lain, kelihatan jelas parti-parti
pembangkang bukan pembela Islam sejati, sebaliknya hanya menjadikan
Islam sebagai bahan pelaris produk mereka sahaja. Ketika sempit, Islam
dijulang dan ketika ingin mencapai sesuatu, Islam dibuang! Bayangkan
kalau mereka memerintah kelak, apa akan jadi kepada nasib umat Islam di
negara ini?
DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
10 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 10/8/2017
No comments:
Post a Comment