SELURUH umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha
bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu daripada
rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu,
bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim A.S. yang
disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Kehebatan
Nabi Ibrahim A.S ialah beraqidah, bersyariat, dan berakhlak dengan
Islam. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah S.W.T. Kita
menyaksikan bagaimana kehebatan Islam baginda A.S apabila diperintah
oleh Allah S.W.T. membuka bumi Makkah yang kering kontang tidak ada air
dan kemudahan asas, meletakkan puteranya Ismail A.S di situ dan
mendirikan Kaabah yang menjadi kiblat untuk seluruh manusia sehingga
akhir zaman. Baginda A.S menunaikan kewajiban itu bagi menyatakan Islam
adalah menyerah diri yang sebenar kepada Allah S.W.T.
Kita menyaksikan bagaimana bumi yang kering kontang itu dikunjungi
oleh manusia dari seluruh pelosok dunia dengan menghidupkan ibadat haji
dan umrah sehingga ke hari ini. Mereka melakukan ibadah Qurban yang
ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim sejak ribuan tahun lamanya dan selepasnya
Nabi Muhammad S.A.W. dilantik menjadi rasul terakhir kepada seluruh
manusia.
Tidak tergambar dalam hati manusia bagaimana di situ bermulanya
dakwah bagi seluruh manusia dengan keyakinan kepada Islam yang menyerah
diri kepada Allah. Nabi Muhammad S.A.W telah berjaya membangun manusia
generasi awal umat Islam dengan aqidah Islam, keimanan dan menyerah diri
kepada Islam yang kosong ekonominya untuk menghadapi dua kuasa besar
dunia Parsi dan Rom yang kaya raya dan kuat ketenteraannya.
Sehingga berakhir dengan kewafatan Nabi Muhammad S.A.W dengan
meninggalkan ajaran hidup baginda dan disambung oleh Khulafa’
ar-Rasyidin yang menyaksikan kejatuhan kuasa besar dunia Parsi dan Rom.
Orang Islam generasi awal yang datang dengan kosong berjaya menguasai
Parsi dan Rom, membina tamadun baru Islam, memanfaatkan segala kemajuan
kebendaan yang positif, menghapuskan segala yang negatif dengan Islam
sehingga berjaya memimpin dunia selama 13 abad dan memerintah negara
yang besar bermasyarakat majmuk.
Walaupun orang Islam lemah setelah meninggalkan ajaran Islam dan hari
ini kita menghadapi serangan musuh yang bertubi-tubi, bukan sahaja
negara umat Islam dimamah dan diratah serta diserang melalui ketenteraan
termasuklah melalui media yang menguar-uarkan Islamofobia dengan
menyebarkan berita seolah-olah semua keganasan daripada ajaran Islam,
padahal dilakukan oleh orang Islam yang jahil dan bebal.
Marilah kita yakin dan percaya bahawa ajaran Islam adalah murni dan
bersih dengan konsep menyerah diri kepada ajaran Islam dengan ikhlas.
Kita percaya Islam akan kembali mentadbir dunia sekali lagi. Kalau
dahulu boleh menjatuhkan kuasa besar dunia dan membetulkan kehidupan
dunia, kali ini kebangkitan Islam akan dapat mengambil alih memimpin
dunia sekali lagi, insyaAllah.
Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan semangat Islam yang
ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S dan disambung oleh nabi akhir zaman,
Muhammad S.A.W ke seluruh pelosok dunia. Akhirnya, pada kesempatan ini,
saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat
Islam walau di mana jua berada. Mudah-mudahan Allah S.W.T. memberkati
kita semua.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment